Wednesday, 25 April 2012

Teks Pidato Bahasa Jiwa Bangsa


Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana.
Dif-dif kehormat.
Rakan-rakan seperjuangan.
Sidang hadirin warga dewan, aspirasi negara.

Assalamualaikum WM WB dan salam 1 Malaysia.

Prof. Dr Awang Sariyan ada menyatakan bahawa ”kisah kegemilangan Bahasa Melayu  pada zaman silam telah membuana di jagat raya…namun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak mungkin dapat mengangkat martabatnya”…Justeru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya… BAHASA JIWA BANGSA.

Bahasa, menurut Kamus Dewan, adalah ’sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam satu kelompok manusia. JIWA, BERMAKSUD ”nyawa atau roh”. Manakala, bangsa pula bermaksud, ”kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan”. Dalam konteks pidato saya, konsep bangsa dan bahasa secara total merujuk kepada bangsa Malaysia dan bahasa kebangsaan kita, yakni BM.

Persoalannya sidang dewan sekalian, mengapakah bahasa itu dikatakan ’jiwa’ @ ’roh’ bangsa? Apakah keistimewaan BM kita yang sekian lama diagung-agungkan dalam adikarya seantero dunia. Marilah bersama-sama saya, merungkai persoalan ini satu persatu melalui empat nirmala kata, inspirasi mahakarya.

Sidang hadirin sekalian…

Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, ’bahasa menunjukkan bangsa’. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama; BAHASA MELAYU MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA.

Jati diri @ identiti sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa.Tahukah anda? Rakyat Switzerland menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa        was-was. Tuntasnya, realiti BM sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Hadirin yang saya muliakan.

Nirmala kata saya yang kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.

Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa BM pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, undang-undang, sastera dan agama.

Sehingga mutakhir ini, BM telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika BM kini sedang diajar dan dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini. Inilah citra BM sebagai bahasa ilmu.

Meniti kita kepada nirmala kata saya yang ketiga; BAHASA MELAYU PEMANGKIN PERPADUAN.

Konsep perpaduan telah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehingga hari ini, perpaduan masih lagi menjadi agenda utama negara di bawah Gagasan 1 Malaysia. Dengan bahasa yang sama, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang agama, adat resam dan budaya yang berbeza. Selepas negara mencapai kemerdekaan, BM telah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

BM juga telah menjadi agen penyatuan rakyat dari segenap ceruk rantau, kesatuan dan persatuan, sama-sama melupakan perbezaan ras dan dogma dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari belenggu kolonial serta meredakan kemelut perkauman dalam era pasca kemerdekaan. Bukankah Herodotus ada berpesan bahawa, ”bangsa yang melupakan sejarah, akan mengulangi  sejarah”. Oleh itu, fikir-fikirkan.

Nirmala kata saya yang keempat dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA.

BM telah menjadi asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong, maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, BM telah mendukung peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, BM digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang.

Ironisnya, di Malaysia kita tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan BM sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya.

Sidang dewan sekalian…

Ingin saya simpulkan, bahawa BM bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya.

Akhir kata dari saya…….

Untuk menjadi bangsa yang dihormati dan disegani, BAHASA perlu dijulang tinggi…Yakinlah, Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah….

Tuesday, 24 April 2012

Tatabahasa - Kata Hubung


KATA HUBUNG
1. Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan rangkai kata dengan rangkai kata ayat dengan ayat.
2.     Kata hubung terbahagi kepada tiga iaitu:
(a)    kata hubung gabungan,
(b)    kata hubung pancangan,
(c)    kata hubung berpasangan.
3.     Contoh kata hubung tunggal dan kata hubung berpasangan/gabungan serta penggunaannya adalah seperti yang berikut:

Kata Hubung Gabungan / Pancangan

Contoh
Ayat
agar
Saya berharap agar kamu dapat menghubungi dia segera.
apabila
Mukanya pucat apabila disoal.
atau
Awak boleh menaiki bas atau teksi untuk ke sana.
bahawa
Kami yakin bahawa yang dikatakannya itu benar.
dan
Leela dan Siu Lan berjiran.
hingga
Ayah dan kawannya berbual hingga larut malam.
Jika
Saya berpayung jika hujan.
Jikalau
Jikalau saya kaya, saya akan membina rumah kebajikan.
kecuali
Semua murid Nadir kecuali Gopal.
kerana 
Aini menangis kerana terlalu sedih.
lalu      
Burung itu terbang lalu hinggap di dahan pohon.
manakala
Baju Karim bersih manakala baju adiknya kotor.
sambil  
Zalifah bernyanyi sambil menari. 
serta
Zahid serta abangnya menonton wayang.
semenjak
Saya berkawan dengannya semenjak kecil.
sementara
Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
sungguhpun
Sungguhpun buta, orang Itu mampu berdikari.
supaya
Belajarlah bersungguhsungguh supaya pandai.
walaupun
Walaupun letih, diselesaikannya jugs kerja ItU.
tetapi
Badannya besar tetapi penakut.

Kata Hubung Berpasangan
          

Contoh
Ayat
Baik - mahupun
Baik lelaki mahupun perempuan sama-sama bergotong royong membersihkan balai raya itu.
Baik- baik
Baik Daud baik adiknya samasama pintar.
bukan sahaja malah
Fuad bukan sahaja nakal malah suka ponteng sekolah.
entah    entah
Jangan lekas percaya akan janjinya, entah betul entah tidak.
Jangan – pun
Jangankan sepuluh ringgit, seringgit pun dia tak ada.
Kian – kian
Kian lama kian banyak orang yang ke sana.
Sama ada – ataupun
Guru Besar meminta sama ada bapa ataupun ibu murid hadir ke Sekolah.
sedangkan...inikan pula
Sedangkan Gunung Kinabalu terdaki olehnya inikan pula Bukit Larut.
semakin...semakin
Encik Husin semakin kaya semakin pemurah.
sungguhpun...tetapi
Sungguhpun badannya gemuk tetapi dia kuat berlari.
walaupun...namun
Walaupun cacat namun Guan rajin berusaha.

Monday, 23 April 2012

Simpulan Bahasa


Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Saturday, 21 April 2012

Cerita Pendek


Pemotong Kayu Yang Jujur

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi.......
Pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya.... Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.....

Tiba-tiba... genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu tercebur kedalam sungai yg dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki... hendak terjun mencari takut disambar arus... meratap lah ia mengenangkan nasib...
Maka...bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut.... lalu turunlah ia bertanya... "wahai orang tua... kenapa bersedih hati"...

Dengan nada perasaan takut dan terkejut diperamati benar-benar, maka tahulah dia si pari-pari telah turun ke bumi menyapakan....lalu diceritakan apa yang berlaku...

"Baiklah..akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam"... lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai.... selang beberapa minit timbul lah kembali si paripari sambil membawa kapak emas lalu dihulur kepada situa.... Dengan sedih jawab situa "..bukan..ini bukan kepunyaan hamba...tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini"....

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu...giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujuranya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya. Keesokan harinya isteri si tua itu pun sihat...

Thursday, 19 April 2012

Pertandingan Pidato Daerah Seremban 2

Hari ini saya telah mengiringi seorang murid Tahun 6 menyertai Pertandingan Pidato Daerah Seremban 2 di SK Nyatuh, Rantau. Sebanyak 21 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pertandingan bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Peserta dari sekolah saya telah mendapat tempat ke-empat dari 21 orang peserta yang bertanding. SK Taman Tuanku Jaafar 2 menjadi johan, ke-dua ialah SK Panchor Jaya dan tempat ke- tiga SJKT Lorong Jawa. Tahniah kepada sekolah yang menang.
Fighter Kirby Walking